SIARAN MEDIA: PEWANGI UDARA KERETA LITTLE JOE HARIMAU MALAYA EDISI KEDUA DILANCARKAN

2021.11.11

Rakan penaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Pewangi Udara Kereta, Little Joe Malaysia memperkenalkan produk Little Joe-Harimau Malaya kedua yang terbaharu di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi.  

Menjelang kejohanan berprestij Piala Suzuki AFF 2020 yang dijadual berlangsung bulan depan, penyegar udara kereta edisi khas kedua Little Joe-Harimau Malaya ternyata menepati citarasa peminat bola sepak Malaysia dan akan dijual secara berperingkat di semua outlet Petronas bermula hari ini. 

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi melihat kolaborasi kedua bersama Little Joe Malaysia ini akan menyuntik semangat serta memberikan inspirasi kepada skuad Harimau Malaya untuk memberikan yang terbaik pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura nanti. 

“Komitmen yang telah dizahirkan oleh barisan penaja termasuk Little Joe perlulah dijadikan inspirasi kepada semua pemain kebangsaan yang akan mewakili negara untuk memberikan yang terbaik.

“Mewakili FAM serta skuad Harimau Malaya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Little Joe kerana mempercayai kemampuan serta kebolehan  pemain-pemain kami.  

“Besar harapan saya agar jalinan Kerjasama ini akan diteruskan di masa hadapan demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” kata Datuk Wira Mohd Yusoff.  

Selain majlis pelancaran produk Little Joe-Harimau Malaya, majlis menandatangani perjanjiaan penajaan juga turut diadakan selepas ia ditunda pada Ogos lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijalankan seluruh negara. 

Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dan Ketua Pegawai Operasi Little Joe Malaysia, Mohammad Shairadzi Shahar.

Ketua Pegawai Eksekutif Little Joe Malaysia, Mohamad Farhan Mohd Fawzi menyatakan kejayaan kolaborasi pertama pada 31 Ogos lalu yang amat menggalakkan menjadi inspirasi kepada Little Joe untuk melancarkan pewangi udara Little Joe-Harimau Malaya edisi kedua ini. 

“Impak positif daripada penjualan produk Little Joe-Harimau Malaya edisi pertama membuatkan kami mahu meneruskan kolaborasi kedua ini bersama skuad kebangsaan. 

“Menerusi produk edisi kedua ini, kami di Little Joe berharap sokongan penyokong skuad Harimau Malaya tidak pudar dan dapat menyuntik semangat kepada barisan pemain di Singapura nanti,” kata Farhan. 

Selain di outlet Petronas, peminat Harimau Malaya juga boleh mendapatkan pewangi udara Little Joe-Harimau Malaya ini di Shopee, Lazada, stesen minyak BHP terpilih dan dijangka memasuki pasaran AEON STORE, AEON BIG, & AL IKHSAN. 

11 November 2021