SIARAN MEDIA: SKUAD PROJEK FAM-MSN LANCAR JERSI BAHARU BAGI MUSIM 2023

2023-02-28

Skuad Projek FAM-MSN (SPFM), hari ini secara rasmi mengumumkan jenama terkenal dari Jerman, Puma menerusi Active Sports sebagai penaja rasmi jersi pasukan berkenaan bagi musim 2023.

Kit terbaharu skuad pembangunan FAM-MSN itu akan digunakan pada saingan Liga Malaysia 2023 iaitu di Piala MFL yang bermula pada Khamis, 2 Mac 2023.

Perjanjian penajaan bernilai RM350,000.00 selama setahun itu telah ditandatangani di antara Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Encik Noor Azman Hj Rahman dan Pengurus Active Sports, Encik S. Murugeson.

Rekaan jersi terbaharu SPFM keluaran PUMA itu jelas mengekalkan elemen tradisi skuad Harimau Malaya iaitu berwarna kuning dan berjalur hitam pada jersi 'Home'. Sementara jersi 'Away' menggunakan warna putih dan berjalur hitam.

Timbalan Presiden FAM, Yang Hormat Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM menyifatkan inisiatif yang diambil oleh FAM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dua tahun lalu untuk membentuk pasukan bersifat pembangunan telah menarik perhatian syarikat-syarikat swasta.

"Di bawah kepimpinan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, FAM bersama MSN akan terus mengekalkan komitmen kami di dalam aspek pembangunan pemain musim ini.

"Menerusi format baharu yang diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) mengenai Piala MFL dan kehadiran Puma sebagai penaja jersi rasmi, sudah pasti objektif FAM dan MSN untuk melahirkan lebih ramai pemain muda yang berkualiti tercapai.

“Terima kasih kepada MFL terutama Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan kerana telah menerima pasukan SPFM untuk menyertai Piala MFL 2023 ini, saingan untuk pasukan-pasukan simpanan di bawah umur 23 tahun. Pentas terbaik buat para pemain SPFM mendapatkan aksi permainan setiap minggu.

"Terima kasih juga kepada Puma di atas jalinan kerjasama ini dan saya yakin SPFM akan lebih bersemangat untuk memulakan aksi pertama Piala MFL 2023 menentang PDRM FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada Khamis, 2 Mac ini," kata Dato’ Sivasundaram.

Pelancaran jersi baharu SPFM keluaran Puma itu telah diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang tadi dengan menampilkan empat pemain daripada SPFM iaitu Adli Ahamad, Muhammad Izzul Azry Abu Mansor, Mohamad Nabil Asyraf Ramli dan Sheikh Mohammad Faris Sheikh Mohammad Faisal.

Yang turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Naib Presiden FAM, Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail; Naib Presiden FAM, Encik Mohd Joehari Mohd Ayub selaku Pengurus Pasukan; Exco FAM, Tuan ACP (B) Md Dali Wahid; Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell; Pengurus Besar Puma Malaysia, Steven Tan serta Pengarah Bahagian Atlet MSN, Encik Jefri Ngadirin.

Sementara itu, Steven turut meluahkan rasa teruja untuk melihat barisan pemain SPFM menyarung jersi 'home' keluaran Puma pada aksi pertama Piala MFL 2023 itu nanti.

"Puma Malaysia amat berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan FAM dan MSN untuk membangunkan pemain-pemain muda negara.

"Kami juga amat berbangga untuk melihat SPFM menyarung jersi 'Home' keluaran Puma pada aksi pertama Piala MFL untuk musim 2023 bertemu PDRM FC pada 2 Mac ini.

"Saya berharap ia dapat memberikan motivasi serta semangat kepada skuad muda ini untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2023," kata Steven.

Jersi 'Home' dan 'Away' SPFM bagi musim ini akan mula dijual di bermula 3 Mac ini di outlet Active Sports, Shah Alam dan outlet Puma terpilih pada harga RM129.

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Selasa, 28 Februari 2023