SIDANG MEDIA BULANAN SKUAD KEBANGSAAN - APRIL 2016

2016-04-14

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah mengadakan program sidang media bulanan buat kali pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya sebagai medium saluran bagi penjelasan dan penerangan mengenai program latihan serta perlawanan diatur untuk skuad kebangsaan, Harimau Malaysia.

 Bagi sidang media bulanan untuk bulan April 2016 ini, Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin dan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee tampil menerangkan mengenai perlawanan-perlawanan yang bakal dihadapi skuad Harimau Malaysia sepanjang bulan Mei dan Jun 2016.

Berikut antara informasi yang disampaikan pada sidang media berkenaan:

 

1. TUJUAN SIDANG MEDIA BULANAN DIADAKAN

Dato' Hamidin berkata: "Selepas berbincang dengan Exco FAM dan Kim Swee sendiri, saya berasakan yang kita perlu mengadakan sidang media sebulan sekali untuk lebih interaksi dan memberi penjelasan sejelasnya kepada pihak media untuk disampaikan kepada peminat bola sepak di seluruh Malaysia.

 "Saya memikirkan kami perlu berkongsi dengan media dan penyokong dan kita juga memahami keprihatinan semua pihak yang mahukan skuad kebangsaan kembali ke landasan sebenar."

 

2. PERLAWANAN ANTARABANGSA "A" BERTEMU MYANMAR DAN TIGA NEGARA OCEANIA

Datuk Ong Kim Swee berkata: "Kita telah merancang perlawanan persahabatan untuk sepanjang tahun ini termasuk yang terbaharu disahkan ialah bertemu Myanmar di Yangon pada 28 Mei ini sebagai persiapan menghadapi dua aksi Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor-Leste pada 2 dan 7 Jun ini.

 "Myanmar mahu bermain dengan kita tetapi bukan di gelanggang kita. Mereka mahu perlawanan diadakan di Yangon kerana kekangan saingan liga domestik mereka. Jadi kita tak boleh minta lebih kerana saya memang perlukan satu perlawanan sebelum kita bertemu Timor-Leste.

 "Selepas perlawanan kedua dengan Timor-Leste pada 7 Jun, pemain akan diberi rehat tiga hari sebelum kita berlepas ke Brisbane, Australia pada 11 Jun untuk latihan pusat di sana sebelum kita memulakan siri jelajah ke Oceania bertemu Papua New Guinea pada 17 Jun, New Caledonia pada 22 Jun dan Fiji pada 26 Jun.

 "Seterusnya antara aksi persahabatan lain selepas itu yang sudah disahkan setakat ini ialah bertemu Singapura pada 1 September di tempat sendiri. Baki perlawanan lain masih dalam perbincangan dengan negara-negara tertentu sebelum kita menghadapi Piala Suzuki AFF 2016 pada penghujung tahun ini."

 

3. MENGAPA HANYA BERTEMU PASUKAN RANKING BAWAHAN

Dato' Hamidin berkata: "Memang hasrat kita mahu mendapatkan perlawanan antarabangsa "A" pada setiap tarikh yang ditetapkan FIFA. Contohnya aksi bertemu Macau, 29 Mac lalu, kita telah hantar permohonan kepada kira-kira 20 buah negara tetapi mereka mempunyai perlawanan kejohanan serantau atau komitmen lain dan akhirnya kita dapat lawan Macau.

 "Sudah tentu jika mahu jumlah mata lebih baik, kita perlu menentang pasukan di ranking ke-150 dan ke bawah tetapi jika kita rancang setahun awal pun, saat akhir mereka boleh batal perlawanan kerana komitmen lain.

 "Sepatutnya hari ini saya mengumumkan kita akan bertemu Oman pada 28 Mei ini di Larkin tetapi pada saat akhir atas beberapa alasan, ia terpaksa dibatalkan dan digantikan dengan Myanmar.

 "Jadi yang lebih penting di sini, kita perlu mendapatkan perlawanan antarabangsa "A" dan perlu menang. Jika main tetapi tak menang, ranking kita akan jatuh. Tak kiralah lawan pasukan lemah atau kuat, yang penting kita perlu menang untuk memperbaiki ranking kita."

 

4. PERLAWANAN KEDUA BERTEMU TIMOR-LESTE 7 JUN JUGA DI LARKIN

Dato' Hamidin berkata: "Saya telah dihubungi Presiden Persekutuan Bolasepak Timor-Leste (FFTL), Francisco Kalbuadi Lay pada hari ini dan secara lisan dia bersetuju untuk perlawanan kedua pada 7 Jun yang sepatutnya berlangsung di Dili turut akan diadakan di Larkin, sama venue seperti perlawanan pertama pada 2 Jun. Mungkin mereka ada kekangan dengan masalah infrastruktur di stadium mereka di Dili.

 "Pihak FFTL akan menghantar surat kepada AFC untuk mendapatkan kelulusan sebelum kita memuktamadkan perkara ini. Jadi jika ini berlaku, kedua-dua perlawanan Play-off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 akan dilangsungkan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2 dan 7 Jun.

 "Selepas mendapatkan pengesahan daripada AFC nanti, kita akan menetapkan waktu sepak mula perlawanan, sama ada jam 9.45 malam atau 10 malam memandangkan pada 7 Jun itu dijangka hari kedua umat Islam menjalani ibadat puasa bulan Ramadan."

 

5. ADAKAH SATU KELEBIHAN KEDUA-DUA AKSI LAWAN TIMOR-LESTE DI TEMPAT SENDIRI

Datuk Ong Kim Swee berkata: "Sudah tentu beraksi di tempat sendiri akan memberi kelebihan tetapi bukan satu jalan yang mudah. Kita tetap perlu memastikan persiapan kita dan pada masa sama Timor-Leste juga akan kurang tempoh perjalanan sama seperti kita.

 "Adalah mustahak untuk kita menggunakan kesempatan dan kelebihan dengan penyokong-penyokong sendiri terutama yang berada di Johor. Saya yakin kita boleh mengatasi Timor-Leste dan layak ke peringkat kumpulan saingan Kelayakan Piala Asia 2019."

 

6. SELEPAS MELAKA DAN JOHOR, LOKASI SETERUSNYA UNTUK AKSI SKUAD KEBANGSAAN

Dato' Hamidin berkata: "Dari awal tahun lagi kita sudah merancang untuk membawa skuad kebangsaan dan skuad B-22 negara untuk beraksi di negeri-negeri ahli gabungan kita. Saya mendapat respon baik daripada mereka dan kita juga nak memberi ruang kepada peminat-peminat di sana hadir menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan dan skuad B-22 negara di negeri mereka.

 "Bulan lalu, skuad kebangsaan telah beraksi di Melaka dan skuad B-22 negara beraksi di Negeri Sembilan. Jadi selepas skuad kebangsaan beraksi di Johor pada Jun ini dan juga skuad B-22 negara di Melaka untuk Nations Cup pada bulan yang sama, kita akan ke Sabah dan Sarawak, disusuli ke sebelah utara dan juga pantai timur semenanjung sebelum kembali ke Lembah Klang."

 

7. SASARAN UTAMA SIRI JELAJAH KE OCEANIA

Datuk Ong Kim Swee berkata: "Kali ini senario berbeza ketika kita bertemu Macau apabila selepas kami kembali dari Arab Saudi, hanya sempat dua atau tiga sesi latihan sebelum perlawanan tersebut yang berakhir dengan keputusan seri 0-0.

 "Jadi untuk sesi latihan bulan Ramadan ini, saya mempunyai lebih banyak masa bersama pemain. Objektif kita untuk tiga perlawanan bertemu Papua New Guinea, New Caledonia dan Fiji ini bukan saja bagi mendapatkan keputusan positif, tapi pada masa sama untuk memastikan pemain utama kita lebih bersedia beraksi pada perlawanan antarabangsa.

 "Di sana nanti barulah saya dapat mengumpulkan kesemua pemain tanpa mereka memikirkan aksi kelab masing-masing sama ada di saingan Liga Super mahupun Piala AFC yang sedang berhenti rehat ketika itu.

 "Jadi di situ nanti saya boleh mengenalpasti pemain-pemain utama yang bakal memikul cabaran negara ke Piala Suzuki AFF 2016 nanti dari kalangan 25 hingga 30 pemain yang akan dibawa ke siri jelajah Oceania itu."