SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN AKHIR KEDUA PIALA BELIA 2016, SSBJ B-17 LWN SELANGOR

2016-10-22

Menjelang Perlawanan Akhir Kedua Piala Belia 2016 antara Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 dan Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad, 23 Oktober 2016, satu sidang media praperlawanan telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi.

 Sidang media berkenaan telah dihadiri ketua jurulatih SSBJ B-17, Reduan Abdullah dan ketua pasukan, Syaiful Alias serta ketua jurulatih Selangor, Noor Zaidi Rohmat dan penjaga gol, Aqil Fadhly Mohd Yusop.

 Pada Perlawanan Akhir Pertama yang telah berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Ahad lalu (16 Oktober), juara bertahan Selangor selaku pasukan tuan rumah telah tewas 1-0 kepada SSBJ B-17 menerusi jaringan tunggal Zafuan Azeman pada minit ke-70.

 Dengan SSBJ B-17 pula akan bertindak sebagai tuan rumah bagi Perlawanan Akhir Kedua di Paroi, malam esok, masuk adalah percuma.

 Berikut komen Reduan dan Noor Zaidi pada sidang media, petang tadi:

 

KOMEN KETUA JURULATIH SSBJ B-17, REDUAN ABDULLAH

"Menang 1-0 pada perlawanan pertama bukan bermakna tugas kita sudah selesai. Masih ada 90 minit yang perlu diharungi malam esok. Jika kita lihat, Selangor bermain begitu baik pada perlawanan pertama tempoh hari.

 "Jadi kedua-dua pasukan sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan masing-masing. Pasti ada perkara-perkara tertentu yang bagus mahu dilakukan kedua-dua pasukan malam esok.

 "Secara taktikal, kita akan main seperti biasa tetapi akan sedikit berhati-hati dengan apa yang mahu dilakukan Selangor nanti. Kita sedar yang mereka pasti akan main habis-habisan untuk mendapatkan gol awal bagi mengikat kedudukan agregat.

 "Jika perlawanan berlarutan ke masa tambahan, sudah tentu kami pun perlu bersedia. Apa yang penting, kemenangan 1-0 pada perlawanan pertama tidak akan membuatkan kami berasa selesa.

 "Kita akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada pada perlawanan pertama tempoh hari dan kalau boleh kita tak mahu berlaku kesilapan mudah yang boleh memberikan jaringan kepada pihak lawan."

 

KOMEN KETUA JURULATIH SELANGOR, NOOR ZAIDI ROHMAT

"Memang kita ketinggalan 1-0 dalam perkiraan agregat tetapi itu tidak akan menjadi tekanan kepada kami dan kami begitu yakin mampu untuk bangkit pada perlawanan kedua malam esok.

 "Seperti yang saya katakan, kita banyak mencipta peluang pada perlawanan pertama tempoh hari, cuma gagal menjaringkan gol. Jadi selepas tiga atau empat sesi latihan sepanjang minggu, kita sudah memperbaiki terutama dari segi penyudah.

 "Apa yang pasti, para pemain nampak begitu bersemangat dan sudah tidak sabar untuk beraksi malam esok.

 "Ketua pasukan, Amirul Haziq Rasmizal masih belum dapat diturunkan dan tugas kapten akan terus digalas M Tamil Maran. Cuma sedikit perkhabaran gembira apabila dua pemain tonggak kami sudah kembali pulih dan mungkin boleh diturunkan malam esok.

 "Kita juga akan melakukan rombakan kecil dalam kesebelasan dan insyaAllah malam esok Selangor akan mencapai kemenangan dan berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Belia."