SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN SKUAD PROJEK SUKAN SEA 2017 LWN NEPAL

2016-03-26

Berikut butiran sidang media praperlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hari ini.

Ia menjelang aksi persahabatan kedua skuad Projek Sukan SEA 2017 menentang pasukan kebangsaan Nepal di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad, 27 Mac 2016, sepak mula 9.00 malam.

Terdahulu, skuad kendalian Frank Bernhardt itu membelasah Filipina B-22 4-1 pada aksi persahabatan sulung di venue yang sama, Rabu lalu.

Hadir pada sidang media berkenaan ialah ketua jurulatih, Frank Bernhardt dan kapten, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli serta ketua jurulatih Nepal, Koji Gyotoku bersama kapten, Biraj Maharjan.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD PROJEK SUKAN SEA 2017, FRANK BERNHARDT

"Masih banyak yang perlu diperbaiki dari segi corak permainan pasukan, terutamanya kelancaran hantaran-hantaran pendek ketika menyerang.

"Keputusan soal kedua, yang penting adalah bagi para pemain untuk memahami dan mengamalkan corak permainan yang kami terapkan dalam sesi latihan; iaitu permainan terbuka dan tidak membuat hantaran-hantaran panjang.

"Walaupun kita menang 4-1 ke atas Filipina B-22, pergerakan-pergerakan yang dilancarkan belum tampak semulajadi sepenuhnya, jadi ia memerlukan lebih masa dan lebih banyak perlawanan."

KOMEN KAPTEN SKUAD PROJEK SUKAN SEA 2017, MOHAMAD FARIS SHAH MOHD ROSLI

"Kami bermain sebagai satu pasukan dan saya rasa sesiapa yang akan diturunkan akan memberikan persembahan terbaik dan kami sedar Nepal merupakan pasukan yang lebih kuat berbanding Filipina B-22 dan kami perlu meningkatkan usaha pada pertemuan itu nanti.

"Selepas perlawanan pertama, ada beberapa kelemahan ketara yang kami perlu perbaiki terutama tindakan penyudah dan juga corak bertahan.

 

KOMEN KETUA JURULATIH NEPAL, KOJI GYOTOKU

"Saya baru tiga minggu menjadi ketua jurulatih dan hanya sempat mengumpul pemain serta berlatih untuk tempoh beberapa hari saja.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran tetapi sudah tentu kami bermain untuk menang. Cuma keutamaan saya di sini ialah untuk menilai kekuatan serta kelemahan pemain Nepal bagi membentuk pasukan yang lebih mantap pada masa akan datang.

"Pemain Nepal biasa bermain di kawasan altitud tinggi berhampiran pergunungan Kathmandu, jadi mereka mempunyai kelebihan stamina yang tinggi.

KOMEN KAPTEN NEPAL, BIRAJ MAHARJAN

"Malaysia pasukan yang kuat tetapi saya dan rakan sepasukan akan berusaha untuk merealisasikan strategi jurulatih bagi memastikan Malaysia tidak mendapat kemenangan mudah."