SKUAD SOMASUNDRAM WAJIB ATASI AUSTRALIA UNTUK KE SEPARUH AKHIR KEJUARAAN B-16 AFF 2016

2016-07-17

Jaringan tunggal Muhammad Nizarruddin Jazi pada minit ke-84 ketika perlawanan keempat Kumpulan A di Stadium Olympic, Phnom Penh, Kemboja malam tadi memastikan peluang Malaysia untuk ke separuh akhir Kejuaraan B-16 AFF 2016 masih menyala selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar.

 Dengan keputusan itu, Myanmar, naib juara tahun lalu sah tersingkir dan kini satu lagi slot untuk ke separuh akhir dari Kumpulan A menjadi rebutan antara Malaysia dan Australia yang akan bertembung sesama sendiri pada perlawanan terakhir di Stadium Olympic, malam esok untuk mengiringi Vietnam yang sudah pun layak.

 Selepas empat perlawanan, Kumpulan A menyaksikan Vietnam selesa di tangga teratas dengan 10 mata diikuti Australia (7), Malaysia (7), Myanmar (4), Singapura (3) dan Filipina (1).

 Namun Malaysia tiada pilihan lain kecuali wajib menang ke atas Australia malam esok kerana jika keputusan seri atau tewas, Australia yang akan layak ke separuh akhir.

 Malaysia memulakan kempen kali ini dengan langkah kanan apabila tewas 3-0 kepada Vietnam disusuli masalah keracunan makanan membabitkan 12 pemain yang mendorong keputusan seri 2-2 dengan Filipina pada perlawanan kedua.

 Kebangkitan Malaysia bermula pada perlawanan ketiga selepas berjaya menewaskan Singapura 2-0 disusuli kemenangan kedua dengan menundukkan Myanmar 1-0, malam tadi.

 Berikut komen ketua jurulatih skuad B-16 negara, P Somansundram menjelang perlawanan terakhir Kumpulan A bertemu Australia, malam esok:

 

 "Ini perlawanan yang paling penting buat pasukan Malaysia kerana kita tak boleh seri atau kalah. Wajib menang untuk layak ke separuh akhir.

 "Apa pun para pemain kini dalam keadaan bermotivasi dan bersemangat tinggi selepas kemenangan ke atas Myanmar. Cuma pemain tengah yang juga ketua pasukan, Arif Shaqirin Suhaimi tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan pangkal paha pada aksi malam tadi.

 "Sudah tentu saya menjangkakan satu perlawanan yang sukar malam esok memandangkan pemain Australia lebih besar fizikalnya berbanding pemain kita.

 "Tapi itu tidak harus dijadikan masalah kerana kita akan menggunakan strategi tersendiri untuk memanfaatkan kelemahan pasukan Australia. Saya pun sudah melihat aksi mereka bertemu Singapura semalam dan saya rasa para pemain kita boleh melakukan yang lebih baik esok dan harap kita boleh menang.

 "Cuma saya mengharapkan supaya barisan penyerang kita dapat menjaringkan gol esok kerana itu perkara yang paling penting memandangkan kita wajib menang. Sebelum ini mereka banyak mempersiakan peluang dan saya mahu ia diperbaiki pada perlawanan esok."