SSBJ B-17 JUARA PIALA BELIA 2016 TEWASKAN JUARA BERTAHAN SELANGOR

Pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 melakar sejarah tersendiri apabila berjaya muncul juara kejohanan bola sepak B-19 kebangsaan, Piala Belia 2016 selepas menewaskan juara bertahan, Selangor 2-1 pada Perlawanan Akhir Kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Skuad kendalian jurulatih Reduan Abdullah itu menang menerusi agregat 3-1 selepas mengatasi Selangor 1-0 pada Perlawanan Akhir Pertama di gelanggang lawan yang telah berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 16 Oktober lalu.

Namun pada aksi malam tadi, Selangor yang dibimbing jurulatih Noor Zaidi Rohmat berjaya memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-20 menerusi penyudah Fazrul Fahriz Zeky untuk seketika mengikat kedudukan agregat 1-1.

SSBJ B-17 bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-26 selepas percubaan Awang Faiz Haziqq Awang Fathi terbias kaki pertahanan Selangor dan terus menerjah jaring untuk membolehkan mereka kembali mendahului 2-1 secara agregat.

 Tatkala Selangor mencari gol untuk kembali mengikat kedudukan agregat, SSBJ B-17 sebaliknya berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-44 menerusi penyerang, Zafuan Azeman yang turut merupakan penjaring gol tunggal pada Perlawanan Akhir Pertama untuk tuan rumah menjarakkan agregat 3-1.

 Selangor yang memerlukan tambahan dua gol untuk mengikat agregat dan menang menerusi peraturan gol di tempat lawan bagaimanapun gagal menembusi gawang SSBJ B-17 sepanjang baki 45 minit permainan babak kedua untuk merelakan trofi dijulang mereka musim lalu dirampas skuad kendalian Reduan itu.

 Selaku juara, SSBJ B-17 membawa pulang wang tunai RM80,000 manakala Selangor sebagai naib juara menerima RM50,000. Hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato' Sri Afandi Hamzah.

 

SSBJ B-17: 1-Khuzairil Izram, 5-Anwar Ibrahim, 9-Syaiful Alias (C), 28-Azhar Apandi, 11-Ahmad Tasnim Nasir, 20-Nurfais Johari, 7-Nik Akif Syahiran Nik Mat (15-Al Imran Abdul Halim 74'), 8-Ammar Akhmall Alias, 12-Awang Faiz Haziqq Awang Fathi (14-Nabil Hakim Bokhari 68'), 24-Arieffahmie Azam (10-Zahril Azri Zabri 78'), 19-Zafuan Azeman.

SELANGOR: 23-Aqil Fadhly Yusop, 27-Aiman Firdaus Azahar, 5-M Tamil Maran (C), 32-Amirul Ashraf Ariffin, 35-Syukri Azman, 11-Asraff Hayqal Zainal (17-D Kugan 46'), 31-Syazwan Salihin, 8-Ainol Iskandar Mahsun (19-Nor Iman Mazlan 75'), 7-Fazrul Fahriz Zeky (12-Aidil Haziq 83'), 34-Syahmi Safari, 25-Azizul Baharuddin.

Pengadil: Tiong Eng Tai

 

KOMEN KETUA JURULATIH SSBJ B-17, REDUAN ABDULLAH:

"Kali ini saya lihat tidak begitu senang kerana Selangor sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan kami. Jadi mereka menggunakan kelemahan kami untuk menghukum kami di bahagian pertahanan.

"Itu yang membuatkan kami agak tertekan pada satu ketika dan gol pendahuluan Selangor itu adalah dari kesilapan pihak pertahanan kami sendiri.

"Tapi walau bagaimanapun, para pemain saya telah berusaha dan bekerja keras untuk mendapatkan gol penyamaan yang cantik dan ia telah memberi semangat untuk kami terus pergi mendapatkan gol kedua.

"Pada babak kedua, kami sudah mengenalpasti pemain-pemain berbahaya dalam pasukan Selangor dan dapat mengekang mereka. Itu yang penting untuk kami tidak dibolosi dengan gol-gol yang mudah.

"Berjaya menjuarai kejohanan bawah 19 tahun biarpun pemain-pemain saya ini baru berusia 17 tahun, bagi pandangan saya mereka ini perlu diasuh dan diajar secara berterusan. Kita tak mahu mereka habis sampai sini saja.

"Banyak lagi kelemahan yang patut mereka atasi untuk menjadi pemain yang lebih baik lagi pada masa akan datang."

 

KOMEN KETUA JURULATIH SELANGOR, NOOR ZAIDI ROHMAT:

"Seawal minit pertama permainan kita sudah cuba memberikan yang terbaik dan berhabis-habisan untuk mencari gol awal sehingga berjaya memperolehinya pada minit ke-20.

 "Tapi selepas itu, kita agak sedikit leka sehingga membenarkan lawan menyamakan kedudukan dan kemudian mendahului pula 2-1.

 "Pada babak kedua, kita sudah cuba menyerang sehingga ke minit terakhir permainan tetapi nampaknya rezeki tidak berpihak kepada kita malam ini.

 "Ya memang sukar untuk menembusi benteng SSBJ B-17 kerana mereka cukup disiplin ketika bertahan. Tapi kita tetap berjaya juga mencipta beberapa peluang dalam kotak penalti mereka.

 "Saya harap ini menjadi pengalaman berguna kepada para pemain muda saya dan insyaAllah mereka dapat belajar daripada kesilapan untuk maju ke hadapan.

 "Secara keseluruhan musim ini, saya berpuas hati dan bangga dengan para pemain yang bekerja keras dari awal musim sehingga ke perlawanan akhir ini. Seperti yang saya katakan, mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar daripada cuba memenanginya."

 

Sekitar Perlawanan Akhir 2 Piala Belia 2016 antara SSBJ B-17 dan Selangor