SUKAN SEA 2017: SKUAD BOLA SEPAK LELAKI MALAYSIA RAIH PINGAT PERAK

2017-08-30

Skuad B-22 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee meraih pingat perak acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas tewas 1-0 kepada juara bertahan, Thailand pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

 Hajat untuk menamatkan penantian ibu pingat emas Sukan SEA ini yang dimenangi Malaysia kali terakhir pada 2011 di Jakarta, Indonesia tidak kesampaian selepas jaringan tunggal Thailand menerusi gol sendiri penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli yang tertumbuk masuk bola sepakan sudut Phitiwat Sookjitthummakul pada minit ke-39 kekal sehingga wisel penamat.

 Terdahulu, Malaysia berjaya menjuarai Kumpulan A menerusi 12 mata maksimum selepas menewaskan Brunei 2-1 (Safawi Rasid, Adam Nor Azlin), Singapura 2-1 (Nor Azam Azih, N Thanabalan), Myanmar 3-1 (N Thanabalan x2, Safawi Rasid) dan Laos 3-1 (Jafri Firdaus Chew x2, Lounlasy Lathasay-GS) sebelum menewaskan Indonesia 1-0 (N Thanabalan) pada separuh akhir.

 Sementara itu, skuad bola sepak wanita Malaysia kendalian Mohd Asyraaf Fong Abdullah menamatkan saingan di tempat kelima daripada lima pasukan selepas tewas kesemua perlawanan kepada Filipina 2-1, Myanmar 5-0, Thailand 6-0 dan Vietnam 6-0.

 

SENARAI 20 PEMAIN SKUAD BOLA SEPAK LELAKI MALAYSIA:

1-Haziq Nadzli (PG), 2-Matthew Davies, 3-Syazwan Zaipol Bahari, 4-Adib Zainudin (K), 5-Syahmi Safari, 6-Safawi Rasid, 7-Amirul Hisyam Awang Kechik, 8-Nor Azam Abdul Azih, 9-Adam Nor Azlin, 10-S Kumaahran, 11-Jafri Firdaus Chew, 12-N Thanabalan, 13-Ariff Farhan Md Isa, 14-Syamer Kutty Abba, 15-Syazwan Andik Ishak, 16-Danial Amier Norhisham, 17-Irfan Zakaria, 18-Akhyar Rashid, 19-Ifwat Akmal Chek Kassim (PG), 20-Syafiq Ahmad.