2016-02-29
Aksi pembuka tirai Piala FAM 2016, semalam menyaksikan MISC-MIFA bermula garang dengan membelasah Persatuan Bolasepak Ipoh (PB Ipoh) 3-0 menerusi jaringan Wan Mohd Syukri (m-11), G. Thipenraj (m-38) dan S. Silambaran (m-80).
Kemenangan besar di Stadium Mini Manjung, Perak itu membolehkan naib juara Kumpulan B Liga FAM musim lepas menerajui saingan Kumpulan A.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, salah satu pasukan yang dilabel pilihan musim ini, AirAsia Allstars FC terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata apabila seri 1-1 menentang Shahzan Muda FC.
Satu lagi perlawanan Kumpulan A, Felcra FC mengetepikan cabaran Megah Murni FC 1-0 di Stadium Mini BSN, Bangi menerusi jaringan bekas penyerang Perak, Shahrizal Saad pada minit ke-41.
Sungai Ara FC pula dianugerahkan kemenangan 3-0 pada perlawanan menentang DYS FC di Stadium Mini Sungai Ara, Pulau Pinang setelah pasukan pelawat yang menurunkan lapan pemain dalam kesebelasan utama akibat masalah kelulusan pendaftaran hanya mempunyai enam pemain pada babak kedua. Perlawanan terpaksa diberhentikan pada minit ke-46 apabila dua pemain DYS FC, kapten, Mohd Reithudin Emran dan penjaga gol, Shahrul Boidi mengalami kecederaan.
Sementara itu, saingan Kumpulan B didahului pasukan dari Melaka, SAMB FC yang mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas UKM FC di Stadium Hang Tuah, Melaka. Bekas pemain Melaka, Mohd Yusri Abas muncul wira SAMB FC apabila menjaringkan hatrik (m-18, m-34 & m-60) manakala gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan oleh Wan Mohammed Afiq pada minit ke-49.
Di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, skuad Kementerian Kewangan (MOF FC) kendalian jurulatih Zahasmi Ismail mengutip tiga mata penuh apabila menang 2-0 menentang MPKB-BRI UBES FC menerusi jaringan bekas pemain kebangsaan, Mohd Nizad Ayub (m-17) dan Wan Muhamad Aliff (m-57).
Pertemuan antara Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM) menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Keningau, Sabah pula berakhir dengan kedudukan seri 0-0 sementara di Stadium Mini UKM, Bangi, Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Hanelang FC menerusi jaringan Muhd Hazim Mohamad (m-45) dan Aikal Aiman Azlan (m-80).
FOTO KREDIT: ASIANA.MY