PIALA BELIA: PP, SELANGOR, KELANTAN, FELDA TERUS UNGGUL

2016-03-07

Pulau Pinang dan juara bertahan, Selangor mengungguli tangga teratas Kumpulan A manakala Kelantan dan Felda United menguasai carta Kumpulan B selepas masing-masing mencatat kemenangan kedua berturut pada aksi hari kedua saingan Piala Belia 2016, petang semalam.

 Selepas menewaskan Pahang 1-0 di gelanggang lawan minggu lalu, Pulau Pinang kendalian Faizal Abdul Halim meneruskan rentak cemerlang dengan menundukkan Negeri Sembilan 2-0 di Padang A, USM.

 Selangor pula tidak mahu keciciran mata apabila berjaya membawa pulang tiga mata penuh dengan menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Penampang, Kota Kinabalu selepas barisan kendalian Noor Zaidi Rohmat itu menumpaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 2-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, minggu lalu.

 Kedah dan Perak pula gagal meneruskan rentak kemenangan minggu pertama selepas Kedah kendalian Roshidi Shaari diikat 1-1 oleh Pahang di Stadium Mini Jitra manakala Perak tewas 1-0 kepada SSMP B-17 kendalian Khalid Shahdan di Gambang, Pahang.

 Sementara itu, pada saingan Kumpulan B, Kelantan bimbingan jurulatih Tengku Hazman Raja Hassan terus garang apabila berjaya menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) IV 2-1 di Stadium Mini UTM, Skudai selepas mereka membenam MISC-MIFA 2-0 di laman sendiri minggu lalu.

 Felda United kendalian Ahmad Shahrul Azhar Sofian pula tidak ketinggalan meneruskan rentak kemenangan apabila berjaya menewaskan SSBJ B-17 bimbingan Razip Ismail 2-1 di Padang D, MSN Bukit Jalil selepas menang tipis 1-0 ke atas Melaka pada aksi pertama.

 Melaka dan Kuala Lumpur berjaya meraih kemenangan pertama selepas masing-masing berjaya menewaskan ATM 4-0 dan Terengganu 2-1.

 Satu perlawanan Kumpulan B bagaimanapun tidak dapat dilangsungkan semalam iaitu MISC-MIFA bertemu SSMP B-16 akibat masalah venue dan perlawanan itu telah pun dipinda ke 16 Mac ini di Stadium Mini USIM, Nilai.

 Perlawanan ketiga Piala Belia 2016 bakal berlangsung pada Rabu ini (9 Mac).

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

SSMP (B-17) 1

Fahmi Sabri 38’

PERAK 0

 

SARAWAK 2

Azafarezal Harun 16’

Nazri Daud 73’

PERLIS 1

Arshie Adzim Yaacob 9’

 

KEDAH 1

Akmal Azmi 83’

PAHANG 1

Hairul Iqmal Raffi 67’

 

PULAU PINANG 2

Nabil Ramlee 4’

M Kavindran 6’

NEGERI SEMBILAN 0

 

SABAH 1

Stanley Sulong 42’

SELANGOR 2

Alif Saidatul Azman 28’

Faisal Mazlan 77’

 

KUMPULAN B

 

SSBJ (B-17) 1

Awang Faiz Hazziq Awang Fathi 23’ (p)

FELDA UNITED 2

Harris Fauzi Ahmad 34’

Saifuddin Khairil Anuar 83’

 

MELAKA 4

Hazim Razali 6’

Amirul Syafiq Abdul Rahim 42’

Nazirul Ahmad Nazaruddin 58’

Amarudin Azman 90+3’

ATM 0

 

JDT IV 1

Azrul Azuan Ali 30’

KELANTAN 2

Rafie Mat Yaacob 61’

Shahrul Nizam Ros Hasni 79’

 

KUALA LUMPUR 2

Haziq Iskandar Khalid 3' (p)

Hafifi Salleh 72'

TERENGGANU 1

Alif Asyraaf Muliadi 88'