2016-09-14
Berikut senarai 20 pemain dipanggil ketua jurulatih futsal kebangsaan yang baharu, Chiew Chun Yong untuk menghadiri kem latihan pusat skuad futsal lelaki kebangsaan bermula 19 September ini (Isnin).
Ia sebagai persiapan awal skuad futsal Harimau Malaysia bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Bangkok, Thailand dari 31 Oktober hingga 8 November ini. Chun Yong, 43, baru saja dilantik sebagai ketua jurulatih yang baharu menggantikan pengendali dari Brazil, Marcelo Serpa.
BIL |
NAMA |
UMUR |
PASUKAN |
1. |
AZRUL HADEE MOHD TAUFIQ |
29 |
FELDA UNITED |
2. |
SAIFUL NIZAM MOHAMAD ALI |
25 |
FELDA UNITED |
3. |
MOHD AZWANN ISMAIL |
24 |
FELDA UNITED |
4. |
MUHAMMAD AZRI RAHMAN |
22 |
FELDA UNITED |
5. |
MOHAMAD ALI MAHAT |
25 |
FELDA UNITED |
6. |
MUHAMMAD AWALUDDIN HASSAN |
25 |
SELANGOR |
7. |
MOHD SYAFIQ HAMZAH |
25 |
SELANGOR |
8. |
MOHD KHAIRUL EFFENDY MOHD BAHRIN |
29 |
SELANGOR |
9. |
SAIFUL AULA AHMAD |
24 |
SELANGOR |
10. |
MOHD FIRDAUS RAZALI |
32 |
MPSJ |
11. |
MUHAMMAD SHAMSUL AKMAR ZAMRI |
25 |
MPSJ |
12. |
SYED AIZAD DANIEL SYED NASIR |
20 |
MPSJ |
13. |
MUHAMMAD AIDIL SHAHRIL ROSLI |
19 |
MPSJ |
14. |
MOHD RIDZWAN BAKRI |
22 |
SABAH |
15. |
MOHD IFTITAH AHMAD |
23 |
SABAH |
16. |
MUHAMMAD HAZEERIN MOHAMMAD ALI |
24 |
QUILMES FC |
17. |
MOHD AZROL MOHAMAD HAIRUN |
23 |
QUILMES FC |
18. |
MUHAMMAD RAZIN A RAHIM |
21 |
PERAK |
19. |
AMAR ASHRAF ABU BAKAR |
28 |
KEDAH |
20. |
AKMARULNIZAM MOHD IDRIS |
25 |
PAHANG |
Daripada senarai 20 pemain di atas, hanya lapan pemain dari skuad 14 pemain ke Kejuaraan Futsal AFC di Uzbekistan, Februari lalu dikekalkan iaitu Azrul Hadee Mohd Taufiq, Saiful Nizam Mohamad Ali, Muhammad Azri Rahman, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin, Mohd Firdaus Razali, Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Amar Ashraf Abu Bakar dan Akmarulnizam Mohd Idris.
Selebihnya adalah 12 pemain baharu termasuk beberapa pemain yang pernah mendapat panggilan skuad kebangsaan sebelum ini seperti Mohd Azwann Ismail, Mohamad Ali Mahat, Saiful Aula Ahmad, Muhammad Shamsul Akmar Zamri dan Mohd Ridzwan Bakri.
Latihan Fasa 1 akan berlangsung dari 19 hingga 28 September membabitkan seramai 20 pemain sebelum jumlah itu dikecilkan kepada 18 pemain untuk latihan Fasa 2 dari 29 September hingga 5 Oktober. Gelanggang latihan adalah di KSL Sports Puchong.
Seterusnya skuad kebangsaan akan terbang ke Jakarta, Indonesia pada 6 Oktober untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang skuad kebangsaan Indonesia pada 8 dan 9 Oktober, sebelum pulang ke tanah air pada hari berikutnya.
Pada Kejuaraan Futsal AFF 2016 nanti, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B dan akan bertemu Singapura pada 1 November, Indonesia (2 November), Laos (3 November) dan Myanmar (4 November) bagi memburu tempat ke separuh akhir pada 6 November sebelum final dijadual pada 8 November.
Kumpulan A pula menampilkan empat pasukan iaitu tuan rumah Thailand, Vietnam, Brunei dan Timor-Leste.
KOMEN KETUA JURULATIH FUTSAL LELAKI KEBANGSAAN, CHIEW CHUN YONG
“Daripada senarai pemain ini, tujuh atau lapan pemain adalah pemain muda yang saya mahu cuba lihat kemampuan mereka di peringkat antarabangsa.
“Mengikut perancangan saya, kita tidak mahu lagi terlalu bergantung kepada pemain-pemain senior. Saya mahu memberi lebih peluang kepada pemain muda bagi proses pembinaan pasukan untuk tempoh dua tahun akan datang terutama menjelang Sukan SEA 2017, Ogos tahun depan.
“Beberapa pemain senior yang dikekalkan ini adalah untuk membimbing pemain-pemain muda ini. Tapi masih menjadi kesukaran untuk saya buat penilaian kerana ketiadaan liga futsal kebangsaan tahun ini.
“Untuk sesi latihan kali ini, saya mahu cuba pendekatan permainan pantas, sebab itulah saya perlukan pemain muda. Mereka ini bermain dalam liga futsal kebangsaan sebelum ini tetapi tiada banyak peluang untuk didedahkan di peringkat antarabangsa.
“Memang sukar juga apabila tiada liga futsal kebangsaan. Tapi saya buat ‘scouting’ sendiri pada kejohanan futsal diadakan setiap hujung minggu bagi memastikan pemain dipanggil ini merupakan pemain yang aktif beraksi.
“Bagi saya, dua perlawanan persahabatan dengan Indonesia ini satu ujian yang baik kerana kita tahu di Indonesia liga tempatan mereka aktif dan dari situ nanti kita dapat lihat jurang pasukan kita dengan mereka.
“Selepas pulang dari Jakarta, kita akan meneruskan kem latihan pusat dan saya turut bercadang untuk kita berlepas ke Bangkok seminggu lebih awal sebelum sepak mula Kejuaraan Futsal AFF 2016 supaya dapat mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab Thailand.
“Sudah tentu, tiada alasan dan kita perlu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir. Dari situ, kita berpeluang untuk bertemu kemungkinan Thailand atau Vietnam bagi menilai sejauh mana tahap kita dengan kedua-dua pasukan yang telah layak ke Piala Dunia Futsal 2016 itu.”