KELAYAKAN PIALA ASIA WANITA 2022: PALESTIN 0-2 MALAYSIA

2021-09-23

Skuad bola sepak wanita kebangsaan meraih tiga mata penuh selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Palestin 2-0 pada perlawanan kedua Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2022, di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat, Palestin, petang semalam (Waktu Palestin).

Pada babak pertama perlawanan, skuad kendalian Jacob Joseph sudah mempamerkan aksi permainan yang garang apabila mereka melakukan banyak percubaan untuk membolosi gawang Palestin namun berjaya dipatahkan oleh pasukan tuan rumah. 

Peluang untuk membuka tirai jaringan perlawanan terbuka apabila pemain tengah Malaysia, Jaciah Jumilis pada minit ke-6 selepas beliau membuat larian pantas ke arah gawang pasukan tuan rumah namun berjaya digagalkan oleh penjaga gol pasukan Palestin, L. Qaraqra.

Palestin juga berhasil melakukan beberapa cubaan merbahaya menerusi rembatan kapten mereka, C. Sohgian pada minit ke-11 namun berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol skuad wanita kebangsaan, Azurin Mazlan. 

Usaha Malaysia untuk menjaringkan gol pertama perlawanan sekali lagi hadir pada minit ke-22 selepas Dadree Rofinus membuat hantaran cantik kepada Jaciah Jumilis namun tandukannya sekadar melewati palang gol Palestin bagi menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan seri 0-0. 

Gol pertama yang dinantikan oleh Malayan Tigress akhirnya hadir pada babak kedua perlawanan selepas pemain tengah, Andrea Lee berjaya memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan Palestin pada minit ke-57.

Pada minit ke-64, Malaysia sekali lagi mencuba untuk mencipta gol menerusi pemain gantian, Farishah Erinna selepas menerima hantaran cantik dari Henrietta Justine namun berjaya ditumbuk keluar oleh Qaraqra. 

Kapten Malayan Tigress, Steffi Sarge Kaur ternyata memiliki magisnya yang tersendiri apabila berjaya menjaringkan gol buat Malaysia menerusi sepakan percuma di luar kotak pada minit ke-82. 

Menerusi perlawanan Malaysia yang terakhir itu, kempen skuad wanita kebangsaan pada Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 berakhir dengan rekod keputusan pasukan, 1 kalah & 1 menang. 

Juara kumpulan Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 sahaja akan layak ke peringkat seterusnya di mana pasukan akan berentap dengan 4 pasukan lain iaitu pasukan tuan rumah, India serta tiga pasukan teratas daripada kejuaraan pada 2018, Jepun, Australia & Republik Rakyat China yang dijadualkan bermula 17 hingga 30 September 2021 dan 18 hingga 24 Oktober ini di venue berpusat. 

PALESTIN: 20. L. Qaraqra (PG) (22. N.Eleyan 90'+3'(PG)), 2. N. Elias, 3. S. Al-Shakhshir (18. B El-Beitoni 84'), 4. S. Ghattas, 5. A. Khattab. 6. T. Salama, 9. C. Sohgian, 10. L. Al- Shaikh, 15. D. Said (7. L. Tanas 49'), 19. S. Rabah (17. H. Sarawi 73'), 21' E. Ibrahim (12. R. Khalaila 84').

MALAYSIA: 23. Azurin Mazlan, 4. Henrietta Justine, 6. Lyana Soberi (15. Pedrolia Sikayun 90'), 7. Jaciah Jumilis, 10. Steffi Sarge Kaur (K), 13. Andrea Lee (21. Emily Joinin 90'), 14. Nurfaizah Saidin, 17. Malini Nordin, 18. Nurfatin Rozani, 19. Dadree Rofinus (12. Farishah Erinna 62'), 22. Waitie Taming (16. Eva Antinus 90').

Pengadil: Esra'a Mahmoud Almbaidin (Jordan)